MAJALAH AL-USTAZ
MAJALAH AL-USTAZ
Gelombang kebangkitan para daie' kini diteruskan lagi dengan kemunculan majalah baru berteraskan Islam iaitu majalah Al-Ustaz, terbitan Telaga Biru. Tatkala menatap majalah ini secara sepintas lalu, saya merasakan betapa peri pentingnya lebih ramai penyertaan para daie' dalam dakwah Islamiah menerusi internet dan majalah di samping dokongan kuat masyarakat dalam merancakkan lagi dakwah Islamiah. Hal ini demikian kerana gerakan kebangkitan dakwah Islamiah mula meluas di negara ini khasnya.
Di kala ini bolehlah dikatakan fenomena "bertalaqqi di internet" begitu meluas di Malaysia. Ustaz Azhar Idrus merupakan antara individu penting dalam menjalankan dakwah Islamiah menerusi medium internet yang seterusnya membangkitkan gelombang "Ustaz Azhar" dalam kalangan penggemar internet. Gelombang ini seterusnya memberikan sedikit tempias kepada para daie' dan cendekiawan Islam lain untuk turut serta dalam menjalankan dakwah Allah S.W.T di internet.
Memang benar, penerbitan majalah-majalah Islam sebelum ini seperti Al-Islam, Majalah I, dan Milenia Muslim menghadapi cabaran hebat dalam menarik minat masyarakat membelinya, namun, saya yakin dan percaya, dengan kemunculan majalah Al-Ustaz ini yang menampilkan para daie' yang terkenal, insyaallah, pembangunan media Islam melalui majalah akan kembali bersinar. Pastinya, penerbit-penerbit majalah Islam yang lain akan kembali bersemangat untuk sama-sama bangkit untuk menampilkan kandungan-kandungan yang lebih menarik dan berkualiti!
Majalah Al-Ustaz ini menampilkan para ustaz/ah yang terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal, Prof. Dr. Muhaya, dan Dr. Zaharuddin Abd. Rahman yang merupakan antara para daie' dan cendekiawan Islam yang sudah kukuh namanya di internet. Melalui konsep soal jawab, pastinya memudahkan para pembaca untuk memahami lagi Islam dan seterusnya menjawab persoalan-persoalan semasa yang timbul dan tercerna di benak fikiran dan sudut hati masyarakat. Penyertaan mereka ini pastinya akan menarik minat para pembaca akan majalah-majalah Islam. Jika sebelum ini majalah Q&A (yang turut berkonsepkan soal-jawab, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.) mendapat sambutan yang menggalakkkan dari kalangan masyarakat, maka tidak teragak-agaklah Telaga Biru Sdn. Bhd. (yang sebelum ini cukup terkenal dengan penerbitan buku-buku Islam) memberanikan diri untuk turut serta menerbitkan majalah Islam, maka terhasillah "Al-Ustaz"!
Sumber : Blogger
No comments:
Post a Comment